Kursus ini bertujuan untuk membincangkan sebab dan akibat aktiviti migrasi antarabangsa serta mengkaji tindak balas pelbagai negara terhadap aktiviti tersebut. Dalam konteks ini, perbincangan akan menumpukan kepada ciri utama politik migrasi iaitu, pertembungan di antara mobiliti dan polisi. Dalam hal ini, pengalaman penghijrah dan tindakan negara menjadi fokus utama. Pelajar juga didedahkan tentang bentuk-bentuk migrasi yang berlaku khususnya di Malaysia. Selain itu, kursus ini turut memfokuskan kepada keberkesanan sempadan sebagai apparatus untuk mengawal mobiliti dan pergerakan keluar masuk sesebuah negara. Di samping itu, kepelbagaian etnik, agama, bahasa akibat aliran migrasi antarabangsa menjana perdebatan sengit berkenaan identiti nasional, perpaduan sosial, kemakmuran ekonomi dan kestabilan politik banyak negara. Bagi membolehkan pelajar menghayati kursus ini secara berkesan, pembelajaran berpusatkan pelajar (student-centered learning) diaplikasikan. Sehubungan dengan itu, pendekatan project-based learning, collaborative learning dan reflective learning digunakan. Akhir sekali, kursus ini adalah berbentuk penilaian berterusan yang merangkumi; (i) peperiksaan pertengahan tahun, (ii) projek biografi pekerja asing transnasional (rakaman temubual), (iii) projek biografi pekerja asing transnasional (laporan), (iv) projek toolkit pengurusan pekerja asing, (v) penilaian ahli kumpulan.